Khutbah terakhir Nabi Muhammad ini disampaikan pada 9hb Zulhijjah tahun 10 Hijriyyah di Lembah Uranah, Gunung Arafah...
Wahai manusia, dengarkanlah baik-baik apa yang hendak aku katakan. Aku tidak mengetahui apakah aku dapat bertemu lagi dengan kamu semua selepas tahun ini. Oleh itu dengarkanlah dengan teliti kata-kataku ini dan sampaikanlah ia kepada orang-orang yang tidak dapat hadir di sini pada hari ini.
Wahai manusia sepertimana kamu menganggap bulan ini, dan kota ini sebagai suci, maka anggaplah jiwa dan harta setiap orang muslim sebagai amanah yang suci, kembalikanlah harta yang diamanahkan kepada kamu kepada pemiliknya yang berhak, janganlah kamu sakiti sesiapapun agar orang lain tidak menyakiti kamu pula, ingatlah sesungguhnya kamu akan menemui tuhan kamu, dan Dia pasti akan memnuat perhitungan di atas segala amalan kamu. Allah telah mengharamkan riba, oleh itu segala urusan yang melibatkan riba dibatalkan mula sekarang.
Berwaspadalah terhadap syaitan demi keselamatan agam kamu, Dia telah berputus asa untuk menyesatkan kamu dalam perkara-perkara besar maka berjaga-jagalah supaya kamu tidak mengikuti dalam perkara-perkara yang kecil.
Wahai manusia, sebagaimana kamu mempunyai hak atas para isteri kamu, mereka juga mempunyai hak di atas kamu. Sekiranya mereka memyempurnakan hak mereka ke atas kamu, maka mereka juga berhak untuk diberi makan dan makanan dalam suasana kasih sayang. Layanilah wanita-wanita kamu dengan baik dan berlemah lembutlah terhadap mereka kerana sesungguhnya mereka adalah teman dan pembantu kamu yang setia. Dan hak kamu atas mereka ialah mereka sama sekali tidak boleh memasukkan orang tidak kamu sukai ke dalam rumah kamu dan dilarang melakukan zina.
Wahai manusia, dengarlah bersungguh-sungguh kata-kataku ini, sembahlah Allah, dirikanlah sembahyang lima kali sehari, berpuasalah di bulan Ramadhan dan tunaikanlah zakat dan harta kekayaan kamu, kerjakanlah ibadah Haji sekiranya kamu mampu. Ketahuilah setiap muslim adalah saudara kepada muslim yang lain. Kamu semua adalah sama, tidak seorangpun lebih mulia dan yang lainnya kecuali dalam taqwa dan beramal soleh.
Ingatlah, bahawa kamu akan menghadap Allah pada suatu hari untuk dipertanggungjawabkan di atas apa yang telah kamu kerjakan. Oleh itu, awasilah agar jangan sekali-kali kamu terkeluar dari landasan kebenaran selepas ketiadaanku.
Wahai manusia, tidak ada lagi Nabi atau Rasul yang akan datang selepasku dan tidak akan lahir agama baru. Oleh itu wahai manusia, nilailah dengan betul dan fahamilah kata-kataku yang telah aku sampaikan kepada kamu. Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya, nescaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya, itulah Al-quran dan sunnahku.
Hendaklah orang-orang yang mendengar ucapanku menyampaikannya pula kepada orang lain dan hendaklah orang lain itu menyampaikannya pula kepada orang lain. Semoga yang terakhir lebih memahami kata-kataku dari mereka yang mendengar terus dariku. Saksikanlah ya Allah, bahawasanya telah aku sampaikan risalahMu kepada hamba-hambaMu.